BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Tuesday, March 16, 2010

PERPADUAN KEARAH PENGUKUHAN KEPIMPINAN UMMAH

Sebagaimana kita sedia maklum bahawa Islam adalah agama kesejahteraan di dunia dan di akhirat dan kita dapati Islam telah memberi panduan yang jelas mengenai cara-cara mencapai kesejahteraan itu. Antara punca kesejahteraan itu ialah keharmonian hidup berkeluarga dan bermasyarakat.
Keharmonian hidup ini tentulah sukar dicapai tanpa adanya perasaan kasih sayang dan persaudaraan yang teguh dalam diri setiap individu yang menganggotai sesebuah masyarakat itu. Oleh itu, Islam sentiasa membimbing dan menunjuk jalan kepada umatnya bagi mempastikan wujudnya nilai kasih sayang dan perpaduan itu. Maka antara peringatan-peringatan tersebut ialah mengingatkan manusia seluruhnya menyedari akan asal-usul mereka dari bapa dan ibu yang satu. Allah berfirman yang bermaksud:

'Wahai manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam) dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya – Hawa), dan yang membiakkan dari kedua-duanya zuriat lelaki dan permpuan yang ramai.'
(Surah an-Nisa’ : 1)

Di samping itu ,Islam mengingatkan manusia bahawa mereka sebenarnya dari satu keturunan sahaja, maka sepatutnya masing-masing tidaklah merasai sombong dan angkuh terhadap yang lain sekalipun mereka berlainan warna kulit dan bahasa pertuturan. Menurut Islam, yang mulia di sisi Allah itu ialah yang lebih taqwanya. Allah berfirman yang bermaksud:

'... Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya antara kamu (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya)...'
(Surah al-Hujurat : 13)

Sesungguhnya keharmonian dan keamanan hidup bermasyarakat dan bernegara ini adalah salah satu ni’mat Allah yang sangat besar yang dikurniakan kepada manusia. Hakikat ini nyata sekali baik di zaman lampau mahupun zaman kini. Sesiapa saja yang tinggal dalam sebuah negara yang aman akan dapat berusaha membangunkan kemajuan negaranya dan dapat hidup sejahtera. Sebaliknya mereka yang tinggal di negara yang kacau bilau, berperang dan berbunuhan, ternyata mereka hidup sengsara, kelaparan dan keperitan. Dalam hubungan ini Allah berfirman yang bermaksud:

'Dan kenangkanlah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuhan (semasa jahiliah dahulu) lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatupadu dengan nikmat Islam) maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara.'
(Surah Ali ‘Imran : 103)

No comments:

Post a Comment